PENGENALAN PROJEK HARI INI DALAM
SEJARAH (HIDS)
HARI INI DALAM SEJARAH: SATU
IMBASAN SEJARAH
Program Hari Ini dalam Sejarah lahir daripada
pandangan dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Kerja Persatuan Sejarah Malaysia
pada 23hb Julai, 1979. Radio Televisyen Malaysia telah mengemukakan permintaan
Y.B Menteri Penerangan Dato’ Mohamad Rahmat supaya Persatuan Sejarah Malaysia
bersama Radio Televisyen Malaysia menerbitkan satu rancangan yang mengandungi
keratan-keratan peristiwa sejarah tanahair untuk disiarkan melalui TV Malaysia.
Tujuan diadakan rancangan ini ialah untuk memberi maklumat kepada orang ramai
tentang sejarah tanahair di samping membawa kesedaran terhadap kepentingan
sejarah dalam kehidupan mereka. Jawatankuasa Kerja ini telah bersetuju untuk
menyerahkan perkara ini kepada kajian Arkib Negara supaya dapat disediakan satu
projek perintis mengenai program ini.
Hasil daripada cadangan ini Arkib Negara
telah menyediakan satu memorandum mengenai rancangan tersebut. Cadangan Arkib
Negara ialah supaya program ini disiarkan tiap-tiap hari mengenai
peristiwa-peristiwa bersejarah yang telah berlaku pada hari-hari yang
berkenaan. Arkib Negara telah mencadangkan program ini dinamakan ‘Hari Ini
Dalam Sejarah’. Di samping itu Arkib Negara telah mengkaji selok-belok mengenai
pengeluaran rancangan ini dan telah mencadangkan bahawa ianya disiarkan satu
bulan sebagai program perintis.
Cadangan ini telah dikemukakan kepada YB.
Menteri Penerangan yang telah bersetuju supaya projerk perintis dilaksanakan
dalam bulan Disember 1979. Y.B Menteri Penerangan juga telah bersetuju untuk
menyiarkan program ini mulai daripada lhb Januari, 1980.
Program ini meliputi aspek-aspek ekonomi,
politik dan sosial tanah air yang bermula daripada tahun 1400 sehingga kini.
Perkara-perkara di dalam sejarah perkembangan politik termasuk Kesultanan
Melaka, kedatangan kuasa-kuasa Barat, pergolakan Negeri-negeri Melayu, Perang
Dunia Kedua, Kemerdekaan dan sebagainya diberi perhatian. Di samping itu di
dalam soal ekonomi perkara-perkara seperti ekonomi tradisional, zaman
pendudukan Jepun telah juga mendapat perhatian. Perkembangan sosial di dalam
pelajaran, kebudayaan, kesusasteraan dan sebagainya juga dititikberatkan.
Program ini telah mula disiarkan pada l hb
Januari, 1980 dan berakhir buat sementara waktu pada 31hb Disember, 1980
kemudian telah disambung semula pada tahun 1981 hinggalah ke hari ini. Di dalam
kajian yang telah dijalankan oleh RTM telah didapati bahawa program ini yang
telah disiarkan melalui Radio Malaysia dan Televisyen Malaysia di dalam
siaran-siaran bahasa Melayu, Inggeris, China dan Tamil adalah merupakan satu
rancangan yang sungguh popular. Arkib Negara sendiri juga menerima sanjungan
daripada orang ramai terhadap usaha yang dijalankan ini. Di samping itu, tidak
kurang pula diterima teguran-teguran yang membina daripada orang ramai mengenai
rancangan tersebut. Permintaan telah banyak diterima supaya bahan yang
disiarkan itu dibukukan untuk digunakan oleh orang ramai khususnya para pelajar
sebagai bahan rujukan. Di atas kehendak ini, maka Arkib Negara mengeluarkan 7
jilid buku yang mengandungi skrip-skrip program ‘Hari Ini Dalam Sejarah’. Hari
ini dengan kemajuan teknologi sekali lagi Arkib negara meneroka dan
mengeksplotasi kemajuan teknologi maklumat dengan menyediakan produk Hari ini
Dalam Sejarah dalam bentuk “Online” kepada pengguna dan ini juga sejajar dengan
usaha kerajaan menyampaikan maklumat secara yang paling cepat dan interaktif
kepada rakyat. Hari ini Dalam Sejarah Online ( HIDS Online ) boleh dicapai
menerusi Homepage Arkib Negara Malaysia http://www.arkib.gov.my
Semoga persembahan dalam tiga pendekatan ini
iaitu Siaran melalui Radio dan Televisyen; Terbitan berbentuk buku sebanyak 7
jilid dan terkini melalui Capaian Internet ini akan menjadi satu sejarah yang
kekal mengenai usaha Arkib Negara dalam menyediakan kemudahan dan faedah kepada
pelajar-pelajar, orang ramai dan generasi muda untuk mengenali sejarah negara
dengan lebih dekat lagi.
Arkib Negara Malaysia
Disember 1998
No comments:
Post a Comment